Pusat Jagaan Warga Emas SRA Berdepan Krisis Kewangan, Memohon Sokongan Awam
KUALA SELANGOR, 30 Jan – Seramai 34 warga emas dan individu uzur yang ditinggalkan oleh keluarga kini berdepan kemungkinan diusir dari tempat perlindungan mereka kerana kekurangan dana bagi menampung kos operasi Pusat Jagaan Orang Tua SRA di sini.
Menurut pengasas pusat jagaan tersebut, Sharil Hussein, 43, mereka hanya diberikan tempoh lima bulan sehingga Mei tahun ini untuk mengosongkan rumah banglo yang telah disewa di Taman Melawati sejak empat tahun lalu.
Beliau menjelaskan bahawa masalah kewangan mula timbul selepas Lembaga Zakat Selangor mengurangkan bantuan bulanan bagi 27 penghuni berdaftar daripada RM1,850 kepada RM800 setiap seorang. Dana ini digunakan untuk menampung kos makanan, tempat tinggal serta keperluan harian penghuni.
“Sejak tahun 2021, kami menerima bantuan sebanyak RM16,500 sebulan daripada LZS, tetapi jumlah ini masih tidak mencukupi untuk menampung kos operasi yang mencecah antara RM45,000 hingga RM50,000 sebulan.
“Perbelanjaan itu merangkumi pembayaran gaji kakitangan, penyediaan makanan dan minuman, serta bil utiliti. Sejak tahun lalu, kami semakin terkesan dengan situasi ini, malah pada Jun tahun lalu, saya hampir menutup pusat jagaan ini.
“Namun, apabila mengenangkan keadaan penghuni yang bergantung sepenuhnya kepada pusat ini, saya tetap bertahan sehingga kini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pembangunan Bersatu Malaysia (MYDA), Sazarul Zakry Zainal Abidin turut melawat pusat jagaan tersebut hari ini bagi meninjau keadaan para penghuni.
Sharil, yang sebelum ini berkhidmat sebagai penjawat awam di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menubuhkan pusat jagaan ini pada 1 Januari 2020 menggunakan dana peribadi. Pada awal operasinya, seramai 10 warga emas yang tidak dituntut keluarga berjaya dipindahkan dari hospital ke pusat jagaan ini yang ketika itu beroperasi di Taman Desiran, Melawati selama tiga bulan.
Beliau menjelaskan bahawa semua 34 penghuni pusat jagaan ini merupakan individu yang pernah ditinggalkan keluarga di hospital kerajaan seluruh negara. “Ramai warga emas ini ditinggalkan di hospital dan tidak dituntut oleh ahli keluarga. Lebih menyedihkan, jika berlaku kematian, proses pengurusan jenazah mengambil masa yang lama,” ujarnya.
Selain itu, peningkatan beban kewangan pusat ini semakin ketara sejak kerajaan melaksanakan gaji minimum RM1,500 pada Mei 2022. “Pada tahun 2020, kami hanya mampu memberikan elaun kepada kakitangan pusat jagaan dalam lingkungan RM800 hingga RM1,200 sebulan. Namun, apabila dana peribadi saya habis digunakan sehingga pertengahan 2024, ia menjadi satu tekanan yang besar,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Sharil menyatakan bahawa pihaknya sedang mengenal pasti beberapa lokasi baharu sekiranya mendapat bantuan kewangan yang mencukupi untuk berpindah.
Antara lokasi yang dipertimbangkan ialah Rumah Tunas Harapan Tengku Ampuan Rahimah di Kuala Selangor, sebuah premis kedai di Taman Peninsular Utama, Pasir Penambang, serta sebuah rumah teres tiga tingkat di Taman Gaya Merak, Assam Jawa.
Mengulas mengenai usaha mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Negeri Selangor, Sharil berkata beliau telah menghantar surat permohonan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, pada awal 2021 serta pertengahan 2023. “Namun, sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang maklum balas berkenaan permohonan bantuan kewangan tersebut,” katanya.
Pautan laman Facebook: Rumah Perlindungan Orang Tua SRA