Asyraf Wajdi Dusuki

Pelajar Tajaan MARA Mampu Penuhi Tenaga Pakar Industri Halal

KUANTAN, 28 Jan – Pelajar yang menerima tajaan MARA bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Jordan dilihat berpotensi untuk memenuhi keperluan tenaga pakar dalam pelbagai bidang, termasuk membantu memperkukuhkan industri halal di Malaysia.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyatakan bahawa kerajaan sedang meneliti secara menyeluruh pembangunan ekosistem halal negara. Menurutnya, Malaysia telah mencapai kejayaan dalam sektor kewangan dan perbankan Islam, menjadikannya rujukan di peringkat antarabangsa.

“Kita berhasrat untuk menambah jumlah pelajar MARA yang dihantar ke Jordan kerana mereka bukan sahaja mendapat pengalaman antarabangsa, tetapi juga menguasai bahasa Arab serta ilmu-ilmu penting seperti Fiqh dan Usul Fiqh.

“Mereka ini kelak boleh menyumbang kepada pelbagai sektor, termasuk industri halal negara yang sedang diperkasakan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPH), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ini merangkumi aspek dasar dan perancangan induk halal yang memerlukan lebih ramai tenaga pakar bagi menyokong pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Penutup Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) bagi sesi 2024/2025 anjuran UCYP University dengan kerjasama MARA dan Yayasan Pahang di sini hari ini.

Seramai 103 pelajar tajaan MARA di bawah program Young Talent Development Programme (YTP) telah menamatkan kursus ini dan akan meneruskan pengajian mereka di tiga universiti terkemuka di Jordan, iaitu Universiti Jordan, Universiti Al AlBayt, dan Universiti Mu’tah.

Selain itu, seramai 20 pelajar tajaan Yayasan Pahang yang turut menyertai program ini akan memulakan pengajian tahun pertama mereka dalam program berkembar 2+2 antara Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang ekonomi serta perbankan Islam.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa pendekatan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan sistem pemantauan dalaman terhadap aspek halal secara menyeluruh. Menurutnya, industri halal bukan hanya bergantung kepada pensijilan, tetapi memerlukan kawalan kendiri bagi memastikan pematuhan berterusan.

“Sekiranya kita hanya bersandar kepada sijil halal serta audit berkala oleh pihak berwajib, kita mungkin berdepan cabaran kerana jumlah syarikat yang terlibat dalam industri ini sangat besar.

“Oleh itu, kita perlukan lebih ramai tenaga mahir yang memahami asas syariah dalam industri halal, sebagaimana kita berjaya membangunkan sektor kewangan dan perbankan Islam sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, merujuk kepada lawatan yang telah dibuat ke beberapa institusi pendidikan MARA, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa beliau akan terus memantau kemudahan yang disediakan agar sentiasa berada dalam keadaan baik dan selesa.

“Saya telah meminta pihak pengurusan MARA untuk melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan kebajikan pelajar dan warga institusi terpelihara. Difahamkan terdapat 344 institusi di bawah MARA, dan saya akan cuba melawat kesemuanya sekiranya berkesempatan,” katanya.

Verified by MonsterInsights