Pemain Warisan Belanda Sertai Harimau Malaya
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Seorang pemain berdarah campuran dari Belanda telah disahkan bakal menyertai pasukan Harimau Malaya bagi menghadapi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung pada Mac nanti.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend, yang menyatakan bahawa proses naturalisasi pemain tersebut kini hampir selesai.
Friend menekankan bahawa kehadiran pemain ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan untuk memperkuatkan pasukan dalam menghadapi cabaran penting di peringkat kelayakan.
“Proses permohonan pasport Malaysia untuk pemain berdarah campuran dari Belanda kini berada di fasa terakhir. Selain itu, tiga pemain lain juga sedang melalui proses mendapatkan kewarganegaraan.
“Kami berhasrat untuk memulakan Kelayakan Piala Asia 2027 dengan pasukan yang lebih kukuh dan mempunyai pelbagai pilihan. Kehadiran pemain-pemain warisan ini bakal meningkatkan peluang kami untuk mencapai matlamat membawa Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi,” ujar Friend dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia.