Polis Berhak Periksa Telefon Bimbit – Ketua Polis Negara
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Pihak polis berhak memeriksa telefon bimbit individu sekiranya terdapat keraguan munasabah atau maklumat yang mengaitkan seseorang dengan perlakuan jenayah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menjelaskan bahawa perkara ini adalah sejajar dengan Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah, yang bertujuan memastikan tiada komunikasi berbentuk lucah, mengancam, mengugut, atau menjelikkan.
Beliau turut menyatakan bahawa tindakan ini dibenarkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Di bawah akta ini, Seksyen 249 AKM memberikan kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengakses data berkomputer, termasuk telefon bimbit. Sementara itu, Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah juga membolehkan akses terhadap telefon bimbit yang diklasifikasikan sebagai data berkomputer untuk tujuan siasatan jenayah,” katanya ketika dihubungi.
Namun begitu, Razarudin menjelaskan bahawa hak untuk melakukan pemeriksaan ini hanya diberikan kepada pegawai polis dengan pangkat sekurang-kurangnya Inspektor.
Penjelasan ini dibuat susulan penularan video yang mempersoalkan tindakan polis menahan individu serta memeriksa telefon bimbit mereka.
Menurut beliau, Seksyen 20(g) Akta Polis juga memberikan kuasa kepada pegawai polis untuk meminta individu menunjukkan maklumat yang diperlukan.
“Oleh itu, tindakan memeriksa telefon bimbit semasa sekatan jalan raya tidak boleh dipersoalkan, namun ia harus dilakukan secara beretika dan mematuhi undang-undang sedia ada. Pemeriksaan tidak boleh dilakukan secara sembarangan tanpa alasan kukuh,” ujarnya.
Beliau turut menambah bahawa Seksyen 292 Kanun Keseksaan boleh digunakan jika pemeriksaan mendapati bahan lucah dalam telefon bimbit, kerana perkara ini diklasifikasikan sebagai kesalahan yang membolehkan tangkapan tanpa waran.
Selain itu, kehadiran aplikasi perjudian dalam telefon bimbit juga merupakan kesalahan jenayah berdasarkan Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang membolehkan pihak polis mengambil tindakan tanpa memerlukan waran.
Razarudin turut menjelaskan bahawa pemeriksaan tanpa waran dibenarkan sekiranya terdapat sebab munasabah untuk mempercayai bahawa kelewatan dalam mendapatkan waran akan menyebabkan bukti dimusnahkan atau diubah.
“Jika situasi ini berlaku, polis boleh mengambil telefon bimbit tersebut untuk siasatan lanjut. Kegagalan memberikan kerjasama pula boleh menyebabkan seseorang itu ditahan kerana menghalang tugas pegawai polis.
“Telefon bimbit yang diambil daripada orang awam hanya akan digunakan untuk tujuan siasatan, terutama jika ada bukti atau kesalahan yang dikaitkan dengan pemiliknya,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis berhak memeriksa telefon bimbit seseorang sekiranya terdapat laporan polis, siasatan yang sedang berjalan, atau jika terdapat syak wasangka munasabah bahawa individu tersebut terlibat dalam jenayah.