Mahkamah Persekutuan

K Sathiaraj di Hukum Penjara 40 Tahun Oleh Mahkamah

PUTRAJAYA, 14 Jan – Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun terhadap seorang bekas pemandu lori berusia 32 tahun yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh seorang wanita warga emas berumur 85 tahun selepas merogol dan meliwatnya pada tahun 2019. Hukuman mati yang sebelum ini dikenakan terhadap tertuduh, K Sathiaraj, digantikan dengan hukuman tersebut.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan, dan Datuk Abu Bakar Jais, menolak rayuan Sathiaraj untuk mengetepikan sabitan kesalahan membunuh. Namun, panel hakim bersetuju untuk mengurangkan hukuman mati kepada penjara selama 40 tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 9 Oktober 2019.

Datuk Harmindar, selaku pengerusi panel, turut mengarahkan supaya Sathiaraj dikenakan 12 sebatan sebagai sebahagian daripada hukumannya.

Pada Ogos 2022, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh setelah mendapati dia bersalah membunuh mangsa di sebuah unit pangsapuri di Ampang, Selangor. Kejadian itu berlaku pada 19 September 2019, antara jam 11.40 pagi hingga 1 tengah hari.

Sebelum itu, Sathiaraj mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas tuduhan merogol dan meliwat mangsa, dan dikenakan hukuman penjara selama 13 tahun serta lima sebatan. Dia tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada Februari 2022, Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan Sathiaraj dan mengekalkan hukuman mati yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, peguam bela Sathiaraj, Anwar Ezzad Zainal, memohon agar hukuman mati terhadap anak guamnya digantikan dengan hukuman penjara selama 31 tahun, sejajar dengan peruntukan di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling, menegaskan bahawa hukuman mati wajar dikekalkan atas alasan perbuatan Sathiaraj sangat keji, zalim, dan tidak berperikemanusiaan. Dalam hujahnya, How mendedahkan bagaimana tertuduh berpura-pura meminta air daripada mangsa sebelum mengikuti wanita itu masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.

Verified by MonsterInsights