Sultan Ibrahim rasmi istiadat pembukaan Parlimen

Sultan Ibrahim Rasmi Pembukaan Sidang Parlimen Ke-15

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menghadiri dan merasmikan Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Parlimen ke-15.

Ini merupakan kali kedua Sultan Ibrahim merasmikan sidang Parlimen sejak baginda mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024.

Baginda tiba di Dewan Rakyat sekitar jam 10.10 pagi dengan diiringi oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, serta Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Turut hadir dalam istiadat ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, di samping anggota kabinet serta ketua-ketua perwakilan asing.

Sebaik sahaja tiba, Perdana Menteri menyerahkan Titah Diraja kepada baginda untuk menyempurnakan majlis pembukaan mesyuarat tersebut.

Istiadat ini disiarkan secara langsung melalui saluran rasmi media, termasuk televisyen tempatan dan platform digital.

Berdasarkan jadual rasmi Parlimen, selain daripada pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari akan menyaksikan perbahasan usul itu selama tujuh hari bermula esok.

Sesi jawapan daripada pihak kementerian yang berkaitan akan diadakan antara 19 hingga 25 Februari.

Mengikut takwim yang telah ditetapkan, pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan lain akan berlangsung dalam tempoh enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari.

Sementara itu, sidang Dewan Negara dijadualkan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac.

Verified by MonsterInsights