
Dua Cedera Dirempuh Kenderaan, Polis Siasat Kes Cubaan Bunuh
KUALA LUMPUR, 30 Jan – Insiden rempuhan melibatkan sebuah Toyota Hilux dan Toyota Vios terhadap sekumpulan lelaki di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama semalam kini disiasat sebagai cubaan membunuh.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, memaklumkan bahawa kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Menurut beliau, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 24 tahun yang menyaksikan kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati dua kenderaan berkenaan keluar dari bangunan tempat letak kereta sebelum dipandu secara berbahaya di hadapan Kelab Top Plus, Kuala Lumpur.
“Kenderaan tersebut telah merempuh sekumpulan individu, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang cedera. Salah seorang daripada mereka telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” katanya.
Setakat ini, mangsa yang terlibat masih belum membuat laporan polis, namun pihak berkuasa telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat kejadian dengan lebih lanjut.
Ku Mashariman turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, ataupun hadir ke balai polis berdekatan.
Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 48 saat mengenai kejadian tersebut tular di media sosial. Video itu menunjukkan dua kenderaan tersebut bertindak melanggar sekumpulan lelaki, termasuk seorang individu yang tercampak selepas dirempuh Toyota Hilux.