Sanusi

Sanusi Dedah Modus Operandi Kartel Tukar Bungkusan Beras Tempatan ke Import

ALOR SETAR, 1 Feb – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan bahawa terdapat aktiviti menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import, yang menjadi punca masalah kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran masih berlanjutan.

Menurut Menteri Besar Kedah itu, isu kekurangan beras tempatan tidak akan dapat diselesaikan selagi pihak berkuasa gagal membanteras kegiatan yang dikendalikan oleh kartel tertentu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kuasa dalam pengurusan sektor tanaman padi dan industri beras diserahkan kepada kerajaan negeri bagi memastikan bekalan beras tempatan dapat dipulihkan sepenuhnya.

“Ada yang bertanya apa tindakan Menteri Besar dalam menangani masalah kekurangan beras sedangkan Kedah adalah negeri pengeluar padi terbesar. Namun, hakikatnya kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa dalam hal berkaitan beras.

“Sejak penubuhan MADA pada tahun 1970-an, kawasan tanaman padi dikawal oleh agensi ini. Selain itu, terdapat pelbagai lagi pihak yang mengawal industri ini, termasuk yang mengeluarkan lesen untuk pembelian, penyimpanan, pemprosesan, serta penjualan beras, semuanya di bawah bidang kuasa kementerian,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa isu berkaitan benih padi masih belum menemui penyelesaian kerana kartel didakwa menguasai industri tersebut.

“Saya pernah menyatakan bahawa kartel mengawal industri padi, tetapi apabila saya berkata demikian, ada pihak yang membantah dan menuduh saya salah. Selagi tiada keberanian untuk berhadapan dengan kartel ini, masalah dalam industri beras tidak akan berakhir,” katanya dalam ucapannya ketika menghadiri majlis Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi turut menegaskan bahawa kartel dalam industri padi perlu dihapuskan sepenuhnya jika kerajaan benar-benar ingin membela nasib petani serta rakyat.

Menurutnya, para petani terpaksa berdepan kesukaran akibat sistem kanchu yang mengikat mereka dengan kilang padi sejak sekian lama, menyebabkan golongan ini terus hidup dalam keadaan yang terhimpit.

“Terdapat kartel yang mengawal benih, menetapkan harga belian padi, serta menguasai pasaran beras, sekaligus menindas para petani. Tetapi apabila perkara ini dibangkitkan, saya pula yang dipersalahkan.

“Aktiviti menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import ini bukan satu rahsia lagi. Jika orang kampung pun boleh tahu perkara ini, mustahil pihak berkuasa tidak menyedarinya.

“Tiada sebarang perbezaan pada butiran beras itu sendiri, yang berubah hanyalah bungkusan. Dengan hanya menukar kampit, mereka boleh menjual beras tempatan pada harga lebih tinggi, contohnya daripada RM23 kepada RM43. Inilah yang mereka lakukan, jadi pihak berkuasa perlu menyiasat perkara ini dengan lebih teliti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan pemberian kuota bekalan benih padi kepada pengilang kerana menurutnya, langkah tersebut tidak menjamin kualiti benih yang disalurkan kepada petani.

“Mereka yang tidak memiliki sawah tetapi diberikan kuota bekalan benih, hendak tanam di mana? Mereka diberikan kuota dalam jumlah besar, sedangkan petani yang sepatutnya mendapat manfaat ini dinafikan hak.

“Padi tidak ditanam di kilang, ia ditanam di sawah. Sepatutnya kuota benih diberikan kepada mereka yang memiliki sawah, bukannya pengilang.

“Apabila kilang yang diberikan kuota, mereka akan mencari bekalan dari mana sahaja yang ada tanpa jaminan kualiti. Akibatnya, benih yang digunakan tidak berkualiti, ada yang perlu ditabur sehingga tiga kali namun tetap tidak tumbuh.

“Walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk subsidi, tetapi manfaatnya tetap berpihak kepada kartel. Inilah punca masalah yang berulang tanpa penyelesaian,” katanya.

Verified by MonsterInsights