Rafizi Ramli: Ikon Kebencian Politik dalam PKR?

Dalam dunia politik Malaysia yang semakin hari semakin dramatik, kita tidak pernah ketandusan watak-watak yang boleh mengisi skrip sebuah pentas sandiwara yang gah. Namun, ada satu nama yang cukup konsisten bukan sahaja dalam menawarkan “fakta dan data”, tetapi juga dalam menyemai semangat permusuhan. Daripada pentas debat umum, sidang media, sehinggalah ke gelanggang pemilihan dalaman PKR – beliau tidak pernah gagal menyuntik adrenalin kebencian politik secara percuma.

Dari Musuh Tradisi ke Musuh Sebumbung

Kini, menjelang Pemilihan PKR 2025, Rafizi sekali lagi tampil — bukan sebagai pemersatu, tetapi lebih kepada chief strategist untuk kempen berbaur “musuhku adalah musuh partiku juga.” Nampaknya, selepas berjaya memposisikan UMNO dan Barisan Nasional sebagai “wajah kejahatan” dalam naratif reformasi sejak sedekad yang lalu, Rafizi kini memperluaskan bakatnya ke dalam “rumah tangga sendiri.” Ibarat penjual baja yang menyembur racun, beliau kelihatan cukup giat menyemai benih kebencian di kalangan ahli-ahli PKR terhadap pesaing dalaman, seolah-olah kerusi Timbalan Presiden PKR itu kerusi terakhir di dunia.

Politik dengan Visi, atau Versi?

Ahli politik lain mungkin berkempen dengan visi, tetapi Rafizi? Beliau berkempen dengan versi — versi siapa yang paling perlu dibenci minggu ini. Dari gaya dan bahasa tubuhnya, seolah-olah Malaysia akan rosak binasa jika calon yang bukan beliau menang. Dan anehnya, setiap kali ada sahaja konflik dalam parti, namanya muncul sebagai ‘faktor pemangkin’. Kebetulan yang terlalu kerap mungkin bukan kebetulan lagi.

Dari Reformis ke Realis Kebencian?

Apakah ini strategi reformasi 2.0? Atau sebenarnya sebuah realiti bahawa Rafizi bukan lagi berjuang untuk perubahan struktur, tetapi hanya untuk memastikan struktur itu kekal berpihak padanya?

Lebih ironi, figura yang satu ketika dahulu diagungkan sebagai whistleblower penuh prinsip kini kelihatan seperti berkelakuan tidak ubah seperti alarm clock politik — berbunyi kuat, tetapi hanya untuk mengejutkan orang lain daripada tidur dan bukan dirinya sendiri.

Calon “Ikon Pembenci Nasional”?

Jika politik adalah pentas lakonan, maka Rafizi Ramli wajar dicalonkan sebagai pelakon pembantu terbaik – bukan kerana membantu rakyat, tetapi membantu menyemarakkan kebencian atas nama perjuangan.

Mungkin sudah tiba masanya untuk beliau mempertimbangkan satu lagi gelaran dalam biodata LinkedIn-nya: “Ikon Pembenci Nasional”. Bukankah ironis – di saat Malaysia sedang mencari jalan tengah untuk kembali bersatu, kita mempunyai seorang ahli politik yang sentiasa mencari sudut untuk membelah dan memisah?

Ahli PKR Perlu Pemimpin, Bukan Pendendam

Namun begitu, sebagai rakyat Malaysia yang rasional, kita serahkan kepada sejarah untuk menilai siapa sebenarnya pemimpin dan siapa sekadar pembakar semangat — atau lebih tepat, pembakar jambatan.

Akhir kata: Dalam dunia yang semakin celaru ini, kita tidak perlukan lebih banyak suara kebencian, walau secanggih mana pun analisis datanya. Kita perlukan pemimpin, bukan pendendam.

Verified by MonsterInsights