
Rafizi Tewas: Pengajaran Buat Pemimpin UMNO
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kemenangan atau kekalahan dalam pemilihan parti bukan hanya soal individu, ia mencerminkan sentimen, kepercayaan dan penilaian ahli parti terhadap kepimpinan sedia ada. Kekalahan Rafizi Ramli dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR semalam adalah satu mesej yang sangat kuat daripada akar umbi terhadap kepimpinan yang dilihat terlalu jauh dari realiti di bawah. Isyarat ini wajar menjadi cermin jelas buat semua parti politik yang ada di negara kita, khususnya UMNO, yang bakal menghadapi pemilihan dalaman parti selepas Pilihan Raya Umum akan datang.
Kekalahan Rafizi: Antara Citra Reformis dan Jurang Akar Umbi
Rafizi, yang memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan 2022 dengan penuh bergaya, tewas dalam cubaan mempertahankan jawatan itu. Beliau dikenali sebagai figura progresif, pakar strategi politik dan Menteri Ekonomi yang lantang memperjuangkan dasar-dasar reformasi. Namun, kemenangan besar yang lalu tidak mampu menjamin sokongan berterusan terhadap beliau dalam pemilihan kali ini.
Pemerhati politik melihat kekalahannya sebagai kesan gabungan beberapa faktor: persepsi bahawa beliau terlalu fokus kepada urusan kerajaan sehingga menjauhkan diri dari jentera parti, kurang turun padang, pendekatan terlalu teknokratik yang tidak menyentuh perasaan dan aspirasi ahli bawahan, serta kecenderungan menolak suara yang tidak sehaluan menjadi punca beliau tewas dalam pemilihan PKR.
Hakikat ini jelas, akar umbi mahukan pemimpin yang tidak sekadar pintar di pentas media dan dasar, tetapi dekat, memahami, dan merendah diri bersama mereka di lapangan perjuangan yang sebenar.

UMNO Wajar Ambil Iktibar Segera
Pemilihan UMNO dijangka berlangsung tidak lama lagi memerlukan pemimpin-pemimpin parti untuk menyemak semula hubungan mereka dengan akar umbi. Apakah mereka benar-benar mendengar suara cawangan dan bahagian? Atau mereka lebih selesa berada dalam zon kuasa dan kepentingan sempit?
Ahli UMNO di peringkat bawahan semakin matang dan tidak mahu lagi sekadar menjadi tukang sorak dalam kancah perebutan kuasa. Mereka menilai prestasi, kejujuran, dan keupayaan pemimpin untuk membawa perubahan sebenar terhadap parti. Sekiranya akar umbi merasakan suara mereka tidak dihormati, mereka akan menghantar mesej jelas – sebagaimana yang berlaku dalam PKR semalam.
Budaya Politik Elitis Harus Dihapuskan
UMNO harus segera meninggalkan budaya politik elitis yang memisahkan pemimpin atasan dengan ahli biasa diperingkat bawah. Sikap angkuh, menutup ruang perbincangan terbuka dan hanya mendengar suara dari kalangan ‘inner circle’ akan menjadi titik tolak kepada kejatuhan pemimpin dan juga parti.
Sejarah membuktikan bahawa banyak pemimpin tersungkur bukan kerana cabaran dari pihak lawan, tetapi kerana kehilangan sokongan akar umbi mereka sendiri. Apabila ahli bawahan mula merasakan parti tidak lagi memperjuangkan nasib mereka, maka kepercayaan akan terhakis, semangat setia akan pudar dan akhirnya pemimpin yang mereka sanjung selama ini akan tersungkur pada pemilihan akan datang.
Pemilihan Parti: Medan Pembaharuan Bukan Pementasan Semula
Pemilihan parti bukan medan untuk memperkukuh kedudukan individu tertentu. Ia adalah proses demokrasi yang perlu memberi ruang kepada kepimpinan yang bersedia untuk mendengar, berubah dan memimpin dengan nilai perjuangan yang ikhlas. Jika pemimpin UMNO yang ada pada masa ini terus memilih untuk kekal dengan pendekatan lama – mengekalkan pemimpin yang gagal memperbaharui imej dan strategi parti – maka keputusan pemilihan itu nanti akan menjadi beban, bukan lagi harapan.
Adakah UMNO bersedia untuk memberi peluang kepada tokoh pelapis yang lebih dinamik, berakhlak dan berani menyentuh isu-isu rakyat dan ahli parti secara terbuka? Atau adakah UMNO akan terus menjadi sebuah parti tertutup yang hanya melindungi kepentingan kelompok tertentu sahaja dalam parti?
Rafizi dan UMNO: Dua Situasi, Satu Pengajaran
Walaupun berlainan parti, apa yang berlaku kepada Rafizi Ramli patut dijadikan cermin oleh pimpinan tertinggi UMNO di peringkat pusat. Seorang pemimpin nasional yang memiliki reputasi yang kuat dalam PKR, jentera komunikasi tersusun dan kedudukan penting dalam kerajaan pada masa ini masih boleh tewas jika gagal memelihara hubungan yang akrab dan ikhlas terhadap akar umbi.
Pimpinan tertinggi UMNO di peringkat pusat tidak boleh lagi beranggapan bahawa jawatan mereka dalam kerajaan atau sejarah perjuangan yang lalu sudah cukup untuk mereka mengekalkan sokongan daripada akar umbi pada pemilihan parti akan datang. Tanpa pemerkasaan demokrasi dalaman, keterbukaan menerima kritikan dan keikhlasan dalam perjuangan, mereka pasti akan terperangkap dalam kitaran kejatuhan seperti yang berlaku ke atas Rafizi Ramli dalam pemilihan parti yang diadakan semalam.
Kembalilah kepada Akar Umbi
Akar umbi bukan hanya pelengkap struktur organisasi – merekalah denyut nadi sebenar parti politik. Jangan tunggu mereka menghantar isyarat penolakan seperti dalam PKR baru kita tersedar dari lena.
Pemimpin tertinggi UMNO harus kembali kepada asas perjuangan asal parti – mendengar, menyantuni dan membela akar umbi dengan penuh berhemah. Hanya dengan cara itu, parti ini boleh bangkit kembali sebagai gerakan politik yang relevan, diyakini dan dihormati oleh rakyat pada masa akan datang.
Nasihat terakhir dari saya, jangan sombong dengan kekuasaan dan jangan abaikan suara bawahan. Kemenangan sebenar adalah apabila seluruh ahli merasa mereka sebahagian daripada perjuangan – bukan hanya sekadar penonton dari jauh yang hanya diperlukan sewaktu tempoh berkempen.
– Biswardi Hasbi