Pekerja Sambut Baik Kenaikan Gaji Minimum RM1,700

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Perlaksanaan kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan yang bermula hari ini dilihat sebagai langkah penting dalam membantu pekerja mengurangkan tekanan kewangan serta meningkatkan taraf hidup mereka di seluruh negara.

Bagi Nur Najwa, 27, yang bekerja dalam sektor perkhidmatan pelanggan, keputusan ini memberikan kelegaan yang sangat diperlukan, terutamanya bagi mereka yang tinggal di ibu kota dan berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Sebelum ini, pendapatan saya tidak mencukupi kerana perlu membayar sewa rumah, kos perjalanan, dan dalam beberapa keadaan, sukar untuk memberikan bantuan kewangan kepada ibu bapa. Dengan kenaikan ini, perbelanjaan harian dapat diurus dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui Bernama.

Siti Mastura, 26, yang bertugas sebagai Eksekutif Komunikasi Korporat di sebuah syarikat perladangan, menyambut baik pengumuman ini dan menganggapnya sebagai langkah awal yang baik bagi pekerja menjelang tahun 2025.

“Saya berharap kadar ini akan terus meningkat pada masa hadapan, terutama bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur kerana beban kos hidup yang semakin tinggi. Walau bagaimanapun, sebarang kenaikan perlu mengambil kira tahap pendidikan, produktiviti serta faktor-faktor lain,” katanya.

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), ketetapan baharu ini mewajibkan semua majikan yang mempunyai lima orang pekerja atau lebih, termasuk sektor profesional, untuk mematuhi gaji minimum RM1,700 sebulan, tanpa mengira jumlah pekerja yang diambil.

Bagi syarikat yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, pelaksanaan gaji minimum ini akan bermula pada 1 Ogos nanti, bagi memberi mereka ruang menyesuaikan struktur kewangan serta operasi perniagaan mereka.

Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 4.37 juta pekerja di seluruh negara sejajar dengan matlamat Ekonomi MADANI yang menitikberatkan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.

Abdul Razak, 33, yang bekerja sebagai pengurus perniagaan di sebuah syarikat keselamatan siber, menyatakan sokongannya terhadap langkah ini, sambil menegaskan bahawa kadar gaji minimum harus dinilai secara berkala bagi memastikan ia kekal relevan dengan perubahan ekonomi semasa.

“Warga kerja Malaysia, terutama golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan, seharusnya menerima bayaran yang setimpal dengan kos sara hidup masa kini.

“Kami menyambut baik pelaksanaan ini dan akan memastikan kepatuhan sepenuhnya terhadap perintah gaji minimum yang ditetapkan,” katanya.

Verified by MonsterInsights